TIGA lelaki termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki dirempuh treler di Batu 18, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, di Kampung Jamuan, Kota Lama Kiri, di Kuala Kangsar, malam tadi.
Dalam kemalangan itu, dua beradik yang maut adalah Muhammad Irfan Hamdan Al Fikri, 17, yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Muhammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27.
Seorang lagi yang maut adalah Muhammad Amirul Fahmi Samaudin, 12, yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Nissan Sunny maut di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.36 malam.
Katanya, sebaik tiba anggota bomba mendapati kereta berkenaan terbabas di sebelah kiri jalan dan berada di bawah treler tanpa muatan.
“Anggota bomba bagaimanapun terpaksa meminta bantuan kren milik sebuah syarikat swasta untuk mengangkat treler berkenaan.
“Bomba turut mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa berikutan kereta terbabit tersangkut di kabel elektrik TNB (Tenaga Nasional Berhad) bervoltan tinggi dan terpaksa meminta bantuan syarikat berkenaan bagi memutuskan bekalan elektrik di kawasan itu untuk sementara waktu,” katanya ketika dihubungi NSTP.
Beliau berkata, susulan itu anggota bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengeluarkan mangsa dan memastikan tiada mangsa lain terbabit dalam kemalangan itu.
“Operasi tamat kira-kira jam 11.30 malam,” katanya.