SHAH ALAM – Selepas 10 hari bertarung nyawa, salah seorang mangsa letupan kedai dobi di Klang dua minggu lalu, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh pagi ini.

Mangsa, 43 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8 pagi ini akibat kegagalan organ selepas menderita melecur sehingga 73.5 peratus akibat insiden tersebut.

Kejadian pada 4 Oktober itu turut mencederakan anak perempuan mangsa berusia 14 tahun yang kini ditempatkan di Hospital Selayang sejak 8 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mangsa dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada Khamis lalu, selepas keadaannya semakin kritikal.

“Kami menerima panggilan pada pukul 9 pagi ini daripada salah seorang anak mangsa yang memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia ketika mendapat rawatan di ICU Hospital Sungai Buloh.

“Pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kegagalan organ yang berpunca daripada 73.5 peratus terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mangsa dan anak perempuannya parah selepas mesin pengering pakaian di dobi yang terletak di Jalan Setia Klang tiba-tiba meletup selepas mangsa menekan butang ‘start’.

Isteri dan bayi mangsa yang turut datang ke dobi tersebut bagaimanapun terselamat kerana ketika kejadian mereka menunggu di dalam kereta.

Pihak berkuasa kemudiannya mengesahkan insiden itu adalah kemalangan dan bukan berunsur khianat apabila siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati leputan berpunca akibat masalah teknikal. – UTUSAN ONLINE

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.