KUALA LUMPUR – Unit Komunikasi Strategik Umno hari ini dalam satu kenyataan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menghapuskan tol seperti dalam manifesto sebelum PRU14 sekali gus membuktikan langkah itu tidak realistik dan sukar dilaksanakan.
Katanya, keputusan yang diambil kini hanyalah sekadar memberikan potongan diskaun tol berkadar 50 peratus untuk tempoh dua hari sebelum Aidilfitri, sekali gus menunjukkan janji manifesto itu hanya sekadar meraih undi
“Pastinya harapan jutaan pengguna lebuh raya yang akan pulang ke kampung untuk menyambut lebaran hampa kerana tidak dapat tol percuma.
“Kenyataan bercanggah dengan manifesto PH untuk menghapuskan tol di seluruh negara pasti membebankan rakyat khususnya berpendapatan rendah dan menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jauh,” katanya, hari ini.
Kenyataan berkenaan turut memetik agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion.
Langkah itu dilihat mengundang kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh singkat, selain mencetuskan persoalan mengenai mekanisme untuk menampung perbelanjaan bagi melunaskan hutang syarikat konsesi.
“Bagaimana kerajaan nak langsaikan hutang dengan segelintir syarikat konsesi di negara ini yang baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?
“Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol?
“Projek berharga RM48 bilion itu memerlukan suntikan modal yang besar untuk pembinaannya, justeru adakah kerajaan sanggup menanggung kosnya dan bagaimana ia akan dilakukan,” katanya.
Kenyataan Unit Komunikasi Strategik Umno turut mendakwa, rakyat sebenarnya menerima cara sistem bertol sejak Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri keempat.
“Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah dan pampasan yang terpaksa diharungi syarikat konsesi ketika melaksanakan sebarang projek lebuh raya,” katanya.