CHUKAI: Membanteras politik wang ialah antara fokus utama Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Said yang mengambil keputusan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti kali ini.

Sambil menyifatkan politik wang sebagai barah yang perlu dibanteras, beliau berkata, UMNO harus memulihkan integriti pada setiap peringkat jika mahu mengembalikan kepercayaan rakyat, bermula dengan pemilihan parti sebagai platform terbaik.

“Saya tidak memikirkan soal menang atau kalah, dan tidak akan berkempen untuk jawatan Naib Presiden yang ditandingi. Namun, saya mahu memantau sama ada wujud politik wang pada pemilihan parti kali ini.

“Saya mahu melihat sama ada mereka yang berkempen pada pemilihan parti kali ini serius untuk membanteras politik wang. Tidak sukar pun untuk mengetahui sama ada ia masih berleluasa atau tidak.

“UMNO perlu memulihkan integritinya pada setiap peringkat jika kita serius mahu mengembalikan kepercayaan rakyat. Kita perlu bermula dengan pemilihan parti yang akan menjadi platform terbaik untuk memperbaiki kelemahan ini,” katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, UMNO perlu realistik kerana masih ramai marahkan parti itu, termasuk ahli sendiri sehingga ada yang meninggalkan UMNO dan menyertai parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ia satu kenyataan menyedihkan tetapi kita perlu mengaku perkara itu,” katanya yang menjadi calon tunggal Barisan Nasional (BN) menang di kawasan Parlimen Kemaman dengan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahmad berkata, UMNO tidak lagi boleh berbangga memiliki tiga juta ahli kerana ia bukan jaminan kemenangan.

Beliau berkata, adalah lebih baik UMNO mempunyai bilangan ahli lebih kecil tetapi komited menegakkan perjuangan parti untuk rakyat.

Dalam pada itu, katanya, UMNO perlu mengamalkan keseimbangan dengan tidak membenarkan Presiden berkuasa mutlak memilih calon pilihan raya, sebaliknya memberi kuasa kepada ketua bahagian untuk memilih calon boleh menang.

“Ketua bahagian adalah orang yang lebih dekat dengan rakyat di bahagiannya. Pemimpin parti mesti membincangkan pemilihan calon dengan ketua bahagian. Perkara ini penting bagi mengelakkan protes daripada ahli.

“Sikap suka menyembunyikan masalah dalaman parti dan gagal membincangkannya menyebabkan situasi menjadi lebih buruk.

“Kita tidak boleh menipu rakyat sepanjang masa. Masyarakat kini lebih terdedah dengan maklumat dan peka akan perkembangan politik semasa,” katanya.

Justeru, beliau berkata, UMNO perlu bekerja keras mengembalikan integriti dan penghormatan serta kepercayaan rakyat sebelum PRU seterusnya.

“Tiada guna kita menuding jari dan menyalahkan mereka yang gagal membawa kemenangan kepada BN,” katanya.

Ahmad berkata, beliau akan terus setia bersama UMNO walaupun ada segelintir ahli memujuknya keluar parti dan menyertai PH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.