SHAH ALAM 10 Ogos – Memalukan!.
Itulah yang boleh dikatakan tentang perlawanan persahabatan antara skuad bawah 23 (B-23) Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam yang terpaksa ditamatkan lebih awal hari ini akibat pergaduhan.
Semuanya kelihatan sempurna buat pasukan negara apabila mendahului 2-0 menerusi Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Rashid, minit ke-64 sebelum pemain UAE memulakan provokasi dengan melakukan asakan keras terhadap pemain negara.
Kemuncak pergaduhan tersebut apabila pemain gantian UAE, Mohammad Khalfab Eto memijak pemain negara sebelum bergaduh dengan Irfan Zakaria dan Syazwan Zaipol.
Di hujung permainan, pemain UAE, Mohamed Khalfan Al Harasi dilihat menendang pemain Malaysia, sebelum pemain kedua-dua pasukan kemudian berbalas tumbukan serta tendangan.
Memburukkan lagi keadaan, pegawai pasukan UAE juga terlibat dalam kekecohan itu, malah pemain lawan bertindak membaling kerusi kepada pemain tuan rumah dan insiden tersebut berlarutan selamat dua minit sebelum dileraikan oleh pasukan keselamatan.