ARTIS kontroversi, Ifa Raziah mempertahankan tindakannya memuat naik video di laman Instagram (IG) memaparkan dirinya tampil seksi dengan gaun ketat singkat dan tanpa lengan.
Bagaimanapun, video berdurasi 15 saat yang tular sejak semalam itu mendapat kecaman netizen yang menyifatkan penyanyi, pelakon dan pengacara itu tidak beriman.
Ifa atau Saripah Raziah Mustapha, 43, berkata video itu sengaja dimuat naik kerana ingin membuktikan dirinya sudah kurus dan bukan menggunakan teknik suntingan.
“Niat saya memang nak tunjuk. Selama ini saya buat promosi produk di IG orang cakap gambar hasil suntingan. Malah tunjuk gambar sebelum dan selepas pun orang tak percaya.
“Apabila saya tunjuk penampilan sebenar, orang kecam pula. Kalau tak tunjuk kata saya propa dan menipu. Kenapa susah sangat nak terima hakikat yang saya sudah kurus?
“Lagi pula dalam video berkenaan saya bukannya berbogel. Orang kita terlalu cepat menjatuhkan hukum tanpa ambil tahu cerita sebenar.
Kalau yang menonton video ‘live’ saya pada waktu berkenaan, pasti tahu,” katanya kepada Harian Metro.
Meski dikecam, Ifa berterima kasih kepada pihak yang menularkan video terbabit kerana dalam sehari produknya yang membantu menurunkan berat badan habis terjual sebanyak 1,000 kotak.
“Pada hari video dirakam, kebetulan saya dan suami menyambut ulang tahun perkahwinan ke-14, Selasa lalu. Jadi, anak, keluarga dan peminat hadir memberikan kejutan.
“Memandangkan majlis dibuat di jakuzi rumah, saya ambil kesempatan rakam video itu. Sebenarnya, gaun itu ada lapisan luar. Namun, disebabkan ia labuh jadi tidak sesuai untuk berjalan atas air.
“Lagi satu, sebelum ini pun saya pernah pakai baju tanpa lengan. Kenapa tidak ada yang tularkan? Adakah sebab ketika itu saya gemuk atau tak cantik?” katanya.