TIGA rakan didakwa di Mahkamah Seksyen Taiping kerana merogol gadis bawah umur, bulan lalu.
Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Saifuan Abdul Aziz, 18, bersama Mohamad Shah Izzwan Azizuddin dan Muhammad Azrul Ahmad Tarmizi, yang kedua-duanya berusia 22 tahun, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol secara berkumpulan ke atas mangsa yang berusia 15 tahun di bilik No 3, Motel Wonderful, Taiping, antara 5.25 pagi dan 11 pagi pada 17 Ogos lalu.
Mohamad Shah Izzwan, Muhammad Saifuan dan Muhammad Azrul didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol secara berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Che Noralashiken Abd Razak membenarkan jaminan RM8,000 setiap seorang bersama seorang penjamin dan menetapkan 23 Oktober ini bagi kes pengurusan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.