Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta semua pihak jangan terlalu teruja dengan penilaian barang-barangnya yang disita pihak polis bernilai RM1.1 bilion, lapor Harian Metro.
Dalam temubual eksklusif bersama MalaysiaKini di pejabat portal berita itu di Petaling Jaya hari ini, Najib berkata, penilaian barang terutama barang kemas yang dirampas polis di kediaman yang dikaitkan dengannya adalah subjektif dan tidak realistik.
“Ia bergantung kepada sumber permata itu, ia bergantung adakah ia hadiah atau bila ia dibeli. Penilaian mungkin akan jadi berbeza.
“Maka, janganlah kita terlalu teruja dengannya. Marilah kita melihat barang berkenaan, setiap barang, dan kami berharap dapat memeriksanya dan kita dapat membuat kesimpulan sumber barang itu dan dapat dijelaskan mengenai barang yang disita oleh polis,”katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, pihaknya mengambil masa 36 hari untuk mengira dan menilai barang rampasan daripada beberapa lokasi membabitkan milik bekas Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, pada 16 dan 17 Mei lalu.
“Nilai barang rampasan dalam siasatan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM900 juta hingga RM1.1 billion.
“Sebanyak 25 daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang. Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta.
“Barang kemas termahal yang dirampas dari serbuan ke premis berkaitan Najib ialah seutas rantai leher bernilai RM6.4 juta,” katanya.