SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bantuan khas sebulan gaji membabitkan jumlah RM31.2 juta, kepada 17,109 penjawat awam di negeri ini sempena Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, turut mengumumkan bantuan khas RM1,000 kepada 755 kakitangan di tujuh jabatan Persekutuan di Selangor.

“Pembayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan kakitangan Persekutuan berkenaan akan dibuat serentak pada 25 Jun ini.

“Peruntukan ini dibayar selepas Hari Raya berikutan kita tidak mahu penjawat awam berbelanja berlebihan dalam menyambut Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rapat Ramadan bersama Menteri Besar Selangor di Dewan Jubli Perak, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, sebanyak 10 peratus daripada bantuan khas kewangan yang dinikmati penjawat awam gred 44 akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM).

“Saya yakin penjawat awam Selangor yang makmur juga sangat patriotik. Mereka turut terpanggil untuk bersama dalam usaha murni mengurangkan beban hutang negara yang ditinggalkan pentadbiran lama.

“Maka, atas semangat cintakan tanah air, penjawat awam Selangor terdorong menyumbang 10 peratus daripada bantuan khas kewangan berkenaan kepada THM. Namun, sumbangan patriotik ini hanya dikenakan terhadap pegawai Gred 44 dan ke atas,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.