PERKENALAN singkat membawa malang kepada gadis selepas dia dirogol temannya itu di taman rekreasi berhampiran Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Sabtu lalu.

Kejadian 9 malam itu berlaku selepas mangsa berusia 13 tahun dijemput suspek menaiki motosikal dan dibawa ke kawasan berkenaan.

Mangsa dan suspek berusia 20 tahun itu dikatakan baru berkenalan sebelum bersetuju untuk bertemu pada hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke lokasi sunyi di taman rekreasi berkenaan.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi yang sunyi di taman berkenaan, suspek kemudian merogol mangsa.

“Selepas melakukan perkara jijik itu, suspek menghantar mangsa ke lokasi mereka bertemu sebelum menghilangkan diri dan gagal dihubungi.

“Dalam keadaan terkejut, mangsa kemudian pulang ke rumah dan menceritakan kejadian kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Denis berkata, susulan daripada laporan itu, polis kini melancarkan operasi memburu suspek.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.