Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membalas tabik hormat terakhir kepada kumpulan pengawal pengiringnya selepas khidmat mereka ditarik balik oleh kerajaan baru Pakatan Harapan (PH).
“Hari ini, saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, Unit Tindakan Khas, polis pengiring dan pegawai, yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana.
“Sejak beberapa minggu ini, kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta pegawai bantuan yang ditugaskan kepada saya sudah ditarik balik oleh kerajaan baru kecuali seorang pegawai ADC (Aide De Camp),” jelas Najib menerusi kenyataan di Facebook beliau.
Najib juga berkongsi gambar penuh emosi tersebut di halaman Facebooknya.
“Tak dapat dinafikan, mereka berselubung emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika kami berlafaz kata perpisahan.
“Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang 9 tahun ini – termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri,” katanya.
Najib juga berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baru dengan penuh dedikasi dan kesetiaan yang sama seperti ketika bersama beliau.
“Saya juga mohon kerajaan baru supaya sentiasa menjaga kebajikan mereka kerana mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan,” katanya.
Najib menjadi perdana menteri sejak tahun 2009 sehinggalah BN tewas buat kali pertama sejak negara mencapai kemerdekan pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Kekalahan kepada PH itu sekali gus mengakhiri 61 tahun penguasaan BN di negara ini.