Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis sangat penting kerana merupakan PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Umno berkolaborasi dengan PAS.
PRK ini menyaksikan isu-isu yang kita bangkitkan mengenai kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk memenuhi janji-janji mereka, antaranya seperti memansuhkan tol, menetapkan harga minyak RM1.50 seliter dan penangguhan pembayaran hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain janji lagi.
Cuma, apa yang menjadi tanda tanya kepada kita adalah sejauh mana isu-isu yang kita bangkitkan ini menjadi daya tarikan kepada pengundi di Sungai Kandis terutama pengundi-pengundi Melayu yang majoritinya mewakili lebih 70 peratus di situ.
Keputusan PRK ini yang menyaksikan majoriti 5,764 undi diperoleh calon PKR boleh diinterpretasikan dalam pelbagai sudut. Adakah masyarakat Melayu sudah tidak ambil peduli sama ada sesuatu kerajaan itu menepati janji-janji pilihanraya atau tidak?
Ataupun pengundi-pengundi lebih berminat untuk melihat kerajaan yang mempunyai kredibiliti dan bebas dari isu-isu yang melibatkan korupsi dan salah guna kuasa?
Mungkin juga berita-berita rampasan wang tunai dan barang barang kemas di kediaman bekas Perdana Menteri menguatkan lagi persepsi korupsi dan salah guna kuasa yang telah ditanam di dalam minda dan jiwa rakyat selama ini?
Meskipun ada penjelasan diberi, persepsi korupsi dan salah guna kuasa ini mungkin masih tebal dan penjelasan yang di beri masih tidak cukup untuk meyakinkan pengundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada Umno.
Pecah amanah
Di PRK Sungai Kandis baru-baru ini kita juga dapat melihat bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah berkempen dengan begitu aktif.
Memandangkan kes mahkamah Najib masih belum lagi dibicarakan dan mengambil kira persepsi korupsi dan pecah amanah yang masih lagi membelengungi beliau, apakah strategi Umno dalam mengketengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini suatu strategi yang bijak?
Perlukah Umno merehatkan Najib dari menyertai kempen-kempen pilihanraya akan datang? Kita perlu ingat bahawa Umno bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon.
Barangkali akan ada yang mengatakan mengapa Najib perlu direhatkan sedangkan Menteri Kewangan Pakatan Harapan DAP, Lim Guan Eng yang sedang didakwa di mahkamah pun tidak ambil peduli perkara ini.
Pendirian saya kita tidak perlu mencontohi DAP. Umno mempunyai benchmark yang tersendiri dan kita perlu menjadikan ini sebagai suatu titik mula untuk mencipta suatu benchmark baharu yang mana Umno mengutamakan integriti dan kredibiliti pemimpinnya sebagai agenda yang penting dalam perjuangan.
Kita perlu letakkan benchmark ini kepada setiap pemimpin bagi memulangkan keyakinan pengundi bahawa Umno adalah sebuah parti yang mempunyai benchmark yang tinggi mengatasi DAP.
Umno perlu mengatasi masaalah persepsi integriti dan kredibiliti ini jika mahu terus relevan. Kita perlu lupakan era terdahulu sebelum PRU14.
Umno kini sudah pun ada presiden dan kepimpinan baru. Era presiden terdahulu sudahpun berlalu menjadi sejarah. Jika Umno tidak berubah dan masih berterusan mempertahankannya legasi dan isu-isu yang membawa kepada penolakannya di PRU14, maka tidak mustahil jika Umno juga akan menjadi sejarah.
Contohnya, ramai kalangan kita tidak faham isu 1MDB dan SRC dan sebahagian dari kita tidak faham isu ini secara total. Oleh itu, apabila kita berbahas isu-isu ini di dalam Parlimen, ia dibuat tanpa mengetahui maklumat yang lengkap dan tepat.
Ia hanya akan menyebabkan pemimpin-pemimpin kita hilang kredibiliti.
PAS sememangnya suka Umno lemah
Dari segi gabungan Umno-PAS pula, PRK Sungai Kandis ini menggambarkan bahawa pakatan Umno-PAS tidak langsung memberi sebarang kesan terhadap kebolehan meraih undi melebihi apa yang Umno peroleh pada PRU-14.
Sewaktu Umno, PKR dan PAS bertanding mengikut haluan masing-masing pada PRU14, Umno mampu mendapat 11,518 undi, tetapi hari ini selepas pakatan Umno-PAS berlaku di PRK Sungai Kandis, kita cuma dapat 9,583 undi.
Walau apa sahaja yang kita spin untuk ‘menyedapkan’ hati kita, pokok pangkalnya kita telah kalah. Kita kalah dengan jumlah undi yang jauh lebih rendah selepas kita berpakat dengan PAS.
Apakah pakatan Umno-PAS ini adalah terlalu awal atau pakatan ini merupakan pakatan yang agak sukar untuk diterima sebahagian besar ahli-ahli PAS?
Kempen PAS kepada ahli-ahlinya adalah PAS mesti memilih parti yang lebih kecil kemudaratannya daripada parti yang memudaratkan lebih besar. Kalau inilah landasan prinsip PAS untuk berpakat dengan Umno, adakah pakatan ini praktikal?
Adakah kita bersedia untuk menolak pemimpin-pemimpin Umno yang dari segi persepsinya telah kelihatan tidak amanah, korup dan hanya mementingkan sesuatu kaum sahaja dalam perjuangan?
Ada maklumat yang disampaikan kepada saya bahawa PAS sememangnya suka Umno lemah. Dalam erti kata lain, di mana sahaja Umno lemah, PAS akan mendapat keuntungan.
Bila Umno lemah di Kelantan, PAS terus berkuasa selama 6 penggal; bila Umno lemah di Terengganu, PAS berjaya menguasai kerajaan negeri dan bila Umno lemah di Kedah, PAS mendapat lebih banyak kerusi pada PRU-14.
Mengguris bukan Melayu
Di kawasan-kawasan bandar pula, apabila Umno lemah, parti-parti PKR dan DAP mendapat keuntungan. Jadi, Umno dan BN tidak boleh lemah.
Umno pernah bersama-sama PAS mempertahankan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, membela nasib etnik Rohingya, pernah bersama PAS dalam isu-isu persoalan agama tetapi ini sahaja belum dapat meyakinkan orang PAS di Sungai Kandis untuk melihat ia sebagai faktor utama untuk mereka memberi undi kepada Umno/BN.
PAS tidak pernah menunjukkan bahawa mereka sanggup duduk di atas pentas yang sama dengan Umno untuk berkempen seperti mana dilakukan oleh PH – parti DAP, PPBM, PKR dan PAN yang bersama-sama di atas pentas semasa berkempen.
Ini secara tidak langsung memperlihatkan belum ada lagi persefahaman atau penerimaan kedua-dua parti dari segi mempraktikkan Pakatan Umno-PAS ini secara jujur dan ikhlas.
Sehubungan itu, saya berpandangan Umno sepatutnya mengekalkan kedudukannya sebagai sebuah parti nasional dengan tidak sepatutnya bergantung atau terikut dengan rentak parti yang lebih kecil dari Umno.
Sebagai sebuah parti nasional kita mestilah mengambil kira bukan sahaja kepentingan orang-orang Melayu sahaja tetapi juga kepentingan kaum-kaum lain dinegara ini.
Kalau diperhatikan, ada di kalangan pemimpin Umno kita berucap sehingga mengguris hati perasaan orang-orang bukan Melayu.
Mereka ini barangkali boleh berbangga dengan menang di kawasan masing-masing tetapi apa gunanya kita menang dikawasan kita sahaja sedangkan ucapan-ucapan sensitif ini yang menyentuh perasaan orang bukan Melayu menyebabkan ramai rakan-rakan seperjuangan Umno/BN “terkorban” di kawasan bandar dalam pilihan raya yang lalu.
Ada juga di kalangan Umno yang menggunakan isu keagamaan bagi meraih sokongan. Apakah benar orang Melayu yang menyokong PKR, orang Melayu yang menyokong PPBM atau orang Melayu yang menyokong PAN akan membiarkan sahaja Islam diperkotak-katikkan atau Umno hanya takut pada bayang bayang sendiri?
Perkara-perkara inilah yang perlu dilihat semula oleh pemimpin-pemimpin Umno dan fokus semula kepada asas penubuhan Umno itu iaitu disamping menjaga kepentingan Melayu yang sememangnya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, kita tidak mengecilkan kepentingan dan hak kaum-kaum lain.
Inilah hakikat yang perlu di terima oleh Umno dan ini juga lah resipi yang digunapakai oleh pejuang-pejuang Umno terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini dan ia merupakan resipi yang terbukti berjaya selama 61 tahun.
Rahsia kejayaan BN
Kejayaan BN selama 61 tahun ini adalah kerana orang Cina, India dan kaum-kaum lain merasakan bahawa mereka boleh meletakkan kepercayaan dan kepentingan mereka kepada BN.
Sebab itu PAS selama berpuluh-puluh tahun tidak dapat membentuk kerajaan persekutuan kerana mereka tidak dapat meyakinkan masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain untuk bersetuju dengan ideologi PAS yang tidak bersifat nasional.
Kalau kita menurunkan taraf kita sebagai parti nasional kepada tahap PAS, maka kita telah mengecilkan perjuangan Umno ini.
Kalau boleh saya ungkapkan kata-kata seorang ketua bahagian Umno iaitu “Syarat kalah bukan semestinya lemah dan syarat menang, bukan semestinya kuat”. Walau apapun, yang pasti untuk menang, kita mestilah kelihatan sebagai parti yang sentiasa menjadi harapan kepada setiap pengundi, tidak kiralah sama ada orang Melayu, Cina, India dan lain-lain.
Kalau ada di kalangan parti-parti komponen dalam BN yang lemah, maka Umno perlu mencari strategi baru untuk menguatkan mereka kembali.
Saya memohon maaf sekiranya ada rakan-rakan seperjuangan, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Majlis Tertinggi atau para pejuang Umno yang merasakan bahawa pandangan saya ini mengguris hati dan perasaan mana-mana pihak.
Saya hanya mahu Umno bangkit semula menjadi sebuah parti nasional yang kuat, inklusif, penuh kredibiliti dan berwibawa. Saya yakin, apabila parti kita kuat, orang akan mencari kita. Proses memperbaiki parti perlu diteruskan, yang lainnya kita berserah kepada Allah.
DATUK SERI JOHARI ABDUL GHANI adalah ketua Umno bahagian Titiwangsa merangkap pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan.