BALING – Kekangan kewangan memaksa seorang isteri menyewa kereta setiap kali menghantar suaminya yang lumpuh ke klinik.
Zaiton Abdul Aziz,52, berkata, suaminya Yahya Che Man,55, terpaksa dihantar menaiki kereta jiran kerana keluarganya hanya memiliki motosikal.
Menurutnya, Yahya yang jatuh sakit pada 9 Mei lalu perlu menerima rawatan dua kali seminggu di sebuah klinik kerajaan.
“Keluarga kami tak ada motosikal, anak nombor dua ada la kereta tapi rosak. Setiap kali ke klinik makcik bayar RM50 dekat jiran.
Advertisement
“Bila suami dah sakit, tinggal makcik dan anak ketigalah yang pergi menoreh. Sekarang dengan musim hujan, pendapatan kami pun tak menentu,” katanya ketika ditemui di Kampung Keledang Dalam, siang tadi.
Tambahnya, suami yang merupakan tunjang belakang mencari nafkah selama ini terpaksa bergantung dengan tiub untuk minum.
“Ingatan dia pun terjejas, nama anak-anak kadang-kadang suami lupa. Sejak sakit, suami hanya boleh minum susu,” katanya.
Menurutnya, rawatan selanjutnya menanti Yahya ialah pada 6 Mei depan.
“Untuk ke depan ni pun terpaksalah makcik sewa kereta sekali lagi, nak buat macam mana,” katanya
Selain kos sewa kereta katanya, dia juga perlu menyediakan susu tin dan lampin pakai buang.
“Susu tin tahan untuk 15 hari, lampin tahan untuk tiga minggu. Susu tin harganya RM81.90, campur dengan lampin ada la RM100 ke atas makcik kena belanja,” katanya.
Zaiton berkata, empat daripada tujuh anaknya masih dalam tanggungan.
“Anak perempuan sulung dan kedua masing-masing dah kahwin dan ada anak. Suami depa hanya kerja ambil upah.
“Anak ketiga pula ambil upah menoreh. Tiga lagi bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Pegang di tingkatan enam dan dua anak kembar di tingkatan dua. Paling bongsu, 9 tahun, tapi tak mahu bersekolah,” katanya.
Menurutnya, ketika ini dia masih menanti kelulusan permohonan bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).
“Pihak LZNK dah datang rumah makcik ambil maklumat, harap-harap diluluskan bantuan tu untuk urusan suami.
“Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) pula makcik tak minta sebab tak tau berurusan,” katanya.
Sementara itu, anak ketiga, Muhammad Fazli, 24, berkata, mereka juga mendiami rumah yang kurang selesa.
“Waktu hujan ada la bocor di tempat-tempat tertentu,” katanya.
Untuk sumbangan boleh disalurkan melalui Bank Islam di nombor akaun 02-048-02-051736-4 atas nama Yahya Che Man.
Atau hubungi keluarga berkenaan 012-4226795 atau 019-8219157.