KANGAR: Mayat remaja lelaki berusia 19 tahun dan wanita lingkungan belasan tahun ditemui orang awam di dalam parit dipercayai terbabit dalam kemalangan seminggu lalu di Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, di sini, petang tadi.
Mangsa yang juga penuntut Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra, Muhammad Hayat Romzi, 19, dari Kuala Nerang, Kedah bersama rakan wanitanya yang tidak dikenali ditemui kira-kira jam 5.30 petang tadi bersama motosikal yang dinaiki mereka di dalam parit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mayat ditemui oleh seorang lelaki dalam keadaan terapung dan lengkap bertopi keledar.
“Berdasarkan hasil siasatan awal, mereka dipercayai menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah Kangar menuju ke Alor Setar.
“Motosikal mereka dipercayai terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum tercampak ke dalam parit berikutan penemuan kesan rempuhan pada sebatang pokok di sebelah parit berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wari berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa terbabit mengalami kemalangan akibat ribut yang melanda baru-baru ini memandangkan keadaan mayat yang sudah kembang dan berbau.
“Pihak kami masih menyiasat punca nahas dan identiti wanita terbabit sedang dikenal pasti memandangkan ada laporan orang hilang yang dibuat di Balai Polis Jitra dua hari lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk dibedah siasat,” katanya.