TEL AVIV – Mahkamah Israel telah memberi pengakuan undang-undang kepada sebuah penempatan Yahudi yang dibina tanpa kebenaran pemerintah Israel di atas tanah milik persendirian Palestin di Tebing Barat yang diduduki.
Menteri Kehakiman ultranasional Israel hari ini menyambut baik keputusan Mahkamah Daerah Baitulmaqdis, yang diumumkan lewat Selasa, berkaitan dengan Mitzpe Kramim, sebuah pos yang didirikan pada tahun 1999 berhampiran Ramallah dan kini menjadi tempat tinggal 40 keluarga Yahudi.
Kebanyakan negara menganggap semua penempatan yang dibina di atas tanah yang ditawan oleh Israel dalam perang Timur Tengah 1967 sebagai haram.
Israel membantah perkara ini.
Pendatang Mitzpe Kramim telah memohon mahkamah daerah pada 2013 untuk mengiktiraf dakwaan mereka terhadap tanah itu dalam usaha menafikan hak pemilik asal tanah berkenaan.
Mahkamah mengisytiharkan kumpulan pendatang Yahudi itu sebagai pemilik sah tanah berkenaan.
Ia menambah bahawa pihak berkuasa Israel tidak menyedari tanah itu dimiliki secara persendirian apabila mereka mula memetakan kawasan itu, di wilayah yang ditawan pada perang Timur Tengah 1967.
Sementara itu, jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah berkata, semua penempatan yang dibina di kawasan tersebut adalah haram.
“Keamanan tidak boleh dicapai selagi penempatan haram terus dibina,” katanya. – Reuters