Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusuf mengingatkan semua pihak agar tidak membenarkan agama dipengaruhi sebarang unsur politik.

Tegas Mujahid, ini kerana kedudukan agama sepatutnya diletakkan lebih tinggi daripada semua perkara.

“Agama seharusnya bebas dari unsur politik, termasuklah khutbah di mimbar-mimbar masjid. Agama harus lebih bebas dari semua kerana ia lebih tinggi dari semua,” kata Mujahid dalam sidang media di KLIA, hari ini.

Mujahid berkata demikian mengulas dakwaan Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan bahawa PAS menggunakan khutbah hari raya Aidiladha untuk memfitnah kerajaan Pakatan Harapan (PH) “menghalalkan LGBT”.

Naib pengerusinya, Che Ibrahim Mohamed semalam dilapor berkata, melalui teks khutbah yang dikeluarkan Dewan Ulama PAS Kelantan itu, PAS cuba menanam kebencian rakyat ke atas pemerintah dengan “menggunakan sentimen agama secara salah”.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata penyampaian teks khutbah seharusnya menjurus ke arah kebaikan dan bukan melabel pihak lain hanya kerana berbeza pandangan politik.

“Ia (teks khutbah seharusnya) lebih menyeru kepada kebaikan, menyeru kepada membina negara ini dan lebih penting jauhkan daripada melabel-labelkan kelompok tertentu hanya kerana berbeza pandang politik apatah lagi menyebarkan fitnah yang tidak betul hanya untuk kepentingan politik.

“Dan itu sememangnya menjadi nasihat saya sejak dari awal pegang jawatan menteri, agar agama tidak di politikkan,” kata naib presiden PAN itu.

Bagaimanapun, anggota parlimen Parit Buntar itu berkata pihaknya akan menyemak kenyataan PAN Kelantan itu bagi tindakan lanjut.

“Saya baru balik dan saya sepanjang di Mekah saya lebih tertumpu kepada ibadah saya serta jemaah Haji.

“Bagaimanapun, saya akan semak apa isunya nanti bila saya masuk pejabat dan akan ambil langkah susulan jika benar terdapat dakwaan sedemikian,” katanya.

Terdahulu Mujahid tiba di KLIA sekitar jam 11.00 pagi selepas selesai menunaikan ibadah haji bagi tahun 1439 hijrah bersekaligus dengan liputan rangkuman operasi jemaah Haji di Mekah.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.