TAIPING: Seorang pelajar kolej swasta maut, manakala dua anggota polis patah kaki, apabila dirempuh sebuah lori di Kilometer 223.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Changkat Jering di sini, pagi tadi.

Dalam nahas jam 8.30 pagi itu, Muhammad Hakeem Badrol Hisham, 21, beralamat di Kampung Tersusun Jalan Gula, Simpang Empat, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib, berkata kemalangan membabitkan kereta Honda Civic dipandu pelajar terbabit, kereta peronda polis jenis Proton Waja dinaiki tiga koperal polis, dan sebuah lori dipandu seorang lelaki.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila setiba di tempat kejadian, kereta peronda polis terbabit berhenti di bahu jalan untuk memberi bantuan kepada pemandu Honda Civic yang mengalami tayar pancit.

“Tiba-tiba, sebuah lori dari arah Kuala Kangsar dipercayai hilang kawalan lalu merempuh belakang kereta peronda polis sebelum melanggar belakang Honda Civic yang berada di hadapan kenderaan itu.

“Kereta peronda polis berkenaan terseret sejauh kira-kira 70 meter di bahu kiri jalan, manakala Honda Civic terbabas ke tengah jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akibat perlanggaran itu, katanya, pemandu Honda Civic maut; pemandu kereta peronda polis berkenaan, Koperal Khairul Zulhamie Mat Deris, 29, patah kaki kiri; Koperal Mohd Zamri Zainal, 47, patah kaki kanan, manakala Koperal Yaacob Udin, 53, pula terselamat.

Bagaimanapun, beliau berkata, pemandu lori berusia 35 tahun dan berasal dari Kulim, Kedah, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota polis yang cedera kini dirawat di Hospital Taiping. Mayat mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat,” katanya.

Mohamad berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kawasan terbabit adalah jalan sehala dengan sedikit berselekoh dan bahu jalan berturap tar.

“Keadaan jalan sibuk dan cuaca cerah, namun tiada kamera litar tertutup (CCTV) dikesan di tempat kejadian.

“Kemalangan itu menghalang lalu lintas, namun dapat dikawal anggota trafik lebuh raya,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.