PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) dibubarkan.

Beliau memaklumkan perkara pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya hari ini.

Mengulas mengenai pembubaran MPN, Dr Mahathir berkata, didapati banyak unsur-unsur politik mempengaruhi majlis berkenaan sehingga dipergunakan oleh pentadbiran dahulu.

“Mulanya ia (MPN) satu badan yang kita guna untuk dapatkan maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi. Tapi akhir-akhir ini ia banyak unsur politik, justeru kita tidak mahu repeat amalan tidak baik itu.

“Sama ada ditubuhkan bentuk lain belum pastikan,” kata beliau.

Mengenai pembubaran SPAD pula, Dr Mahathir memaklumkan, tugas-tugas suruhanjaya itu akan diambil alih oleh Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, katanya, JASA dan JKKP dibubarkan kerana ia berunsur politik.

“JKKP akan digugurkan kerana ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk jalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, proses penamatan kakitangan awam lantikan kontrak yang berkaitan politik akan diteruskan namun kerajaan akan mengambil kira golongan yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pihaknya juga kebanyakan agensi dan institusi lain yang terbabit dalam menasihati kerajaan terdahulu dan dibayar oleh kerajaan akan dibubarkan.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.