Polis Selangor akan memohon waran tangkap terhadap Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos selepas menghilangkan diri baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata polis sedang menyiasat sembilan kes membabitkan Jamal, termasuk tiga yang didakwa di sebuah hospital Jumaat lalu.
“Pihak polis telah memberikan masa yang cukup untuk Datuk Seri Jamal memberikan kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan namun beliau masih gagal untuk memberikan respons yang sepatutnya. Malah sentiasa cuba berdolak dalik dalam kenyataan-kenyataan viral yang dilakukan beliau.
“Oleh itu waran tangkap ke atas beberapa kes yang melibatkan Datuk Seri Jamal akan dipohon dan tindakan mengesan akan diperhebatkan,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Jamal gagal hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya kerana bimbang akan ditangkap.
Namun, dia kemudiannya mengeluarkan video dari sebuah ladang kelapa sawit dengan mendakwa kerajaan cuba menjadikan dirinya sebagai mangsa.
Ketua gerakan Baju Merah itu juga mendakwa dia dilayan seperti seorang penjenayah dan pengganas.
Baca: Rayuan Jamal dari ladang sawit: Jangan zalimi saya, Tan Sri
Jamal juga mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis telah menyerbu rumahnya, rumah ibunya, pejabatnya, serta lokasi lain yang dikaitkan dengannya, di bawah tekanan daripada kerajaan Pakatan Harapan.
Jamal menghilangkan diri dari Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 25 Mei lalu selepas dituduh di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ekoran mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 5 Oktober tahun lalu.
Pada keesokan harinya, dia mengeluarkan rakaman audio yang mendakwa berlaku salah faham.
Jamal juga disiasat mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak ramai.