KUALA LUMPUR — Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengakui tersalah masuk ke Dewan Rakyat menggunakan laluan pintu pembangkang.
Beliau berkata kesilapan itu terjadi kerana sudah “terbiasa” memandangkan sudah lebih 30 tahun beliau memasuki Parlimen melalui laluan itu.
“Kerana terbiasa, saya tersalah masuk pagi ini,” coretnya dalam laman Instagramnya, yang memaparkan foto beliau berada di kerusi kerajaan.
“Pengalaman baharu duduk di kerusi kerajaan membuatkan saya terharu seketika,” kata ahli parlimen Bagan dan bekas ketua menteri itu.
Kesilapan laluan hampir dilakukan oleh dua anggota parlimen muda yang baru dipilih, “mungkin kerana teruja atau gementar”, lapor Sinar Harian.
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 25, dan rakan ahli parlimen termuda P Prabakaran, 22, menyedari kesilapan selepas ditegur.
Ahli parlimen PPBM dan PKR itu ditegur wartawan dan pegawai Parlimen yang menunjukkan laluan dan pintu masuk sebenar ke dalam Dewan Rakyat.