KUALA LUMPUR – Ada dalam kalangan ahli Umno melaungkan sokongan hanya ketika pimpinan mereka berada pada tampuk kekuasaan, sebaliknya berpaling tadah selepas pemimpin itu jatuh.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ahli Umno sebegini lebih baik meninggalkan parti kerana parti itu hanya memerlukan orang berani mati demi parti.
Malah katanya, setelah kehilangan kuasa, ada orang parti yang memijak-mijak bendera Umno.
“Kadang-kadang ada juga orang kita melaungkan kesetiaannya, tapi kesetiaan waktu kita berkuasa. Apabila kita dah tak ada kuasa, bendera Umno dipijak-pijaknya.
“Orang begini memanglah lebih baik dia keluar Umno. Kita hanya nak orang setia dan sanggup atau berani mati dalam Umno,” katanya ketika berucap di hadapan sekumpulan penyokongnya di sebuah restoran di ibu kota, semalam.
Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak-anaknya diraikan pada majlis ramah mesra anjuran Persatuan kebajikan Insan Mulia (PKIM) dan Wanita Umno Cawangan Pulau Ketam di sini, semalam. Beliau sempat menyatakan penghargaan dan terharu atas sokongan tanpa belah bahagi daripada penyokongnya yang hadir.
“Dalam politik, ada menyokong apabila dia dapat sesuatu, ada menyokong waktu kita senang, tapi paling mahal pada anggapan saya adalah penyokong seperti tuan-tuan dan puan-puan.
“Saya anggap ini majlis yang menyentuh hati dan perasaan saya kerana tuan puan adalah penyokong setia Umno yang setia dalam apa juga keadaan,” katanya.
Najib akui amat sedih atas kekalahan Umno pada PRU14 dan antara faktornya ialah ahli Umno sudah lupa prinsip serta nilai perjuangan mereka.
“Kita lebih mementingkan apa yang kita boleh dapat. Kita lebih pentingkan kelompok kita sendiri, sehingga kalau kita tak dapat apa kehendak kita, kita sanggup membelakangkan parti.
“Malah ada juga berkelakuan seperti mengugut parti kita jika tak jadi calon, yang anehnya ia dilakukan oleh mereka yang ada jawatan dalam parti. Kalau inilah perangainya, maka tak hairanlah bila pembangkang mengasak kita, orang melihat Umno ini dalam satu keadaan, di mana kita sudah lupa akan nilai tradisi perjuangan,” katanya.
Sementara itu katanya, bagi proses muhasabah diri, ia perlu dibetulkan dari dalam diri setiap ahli terlebih dulu.
“Biarlah kita benar-benar ikhlas, setia dan kasih pada perjuangan Umno ini, barulah ada cahaya di hujung terowong,” katanya.