GUA MUSANG – Seorang suri rumah nyaris maut apabila mengalami sesak nafas dan pedih usus selepas beberapa jam minum kopi yang dicampur cecair peluntur.
Mangsa, Siti Hajar Abdullah, 30, dari Taman Agropolitan Rantau Manis, berkata, dia memberanikan diri mencuba campuran berkenaan selepas diberitahu ia adalah sejenis kopi antiracun.
Kata ibu kepada empat anak ini, dia terpengaruh dengan keberkesanan kopi tersebut kerana sebelum ini disahkan menghidap komplikasi penyakit termasuk buah pinggang, jantung, darah tinggi dan bengkak hati.
“Saya diajak seorang rakan untuk menghadiri parti produk berkenaan di salah sebuah rumah di kawasan perumahan saya. Seramai 20 orang hadir dalam majlis berkenaan.
“Penjual itu mendakwa kopi berkenaan adalah anti racun, anti kanser, mampu menurunkan kadar gula dalam darah, merawat batu karang dan meningkatkan metabolisme.
“Untuk membuktikan kopi itu antiracun, penjual terbabit mencampurkan cecair peluntur dan menyuruh kami minum. Saya ingatkan ia tidak bahaya dan boleh memberikan kesihatan yang baik,” katanya.
Tambah Siti Hajar, beberapa jam selepas itu, dia mengalami sakit di bahagian usus dan panas di tekak sehingga menyukarkan pernafasan.
“Saya tahan sakit sendirian kerana takut dimarahi suami. Namun, ia semakin teruk dan saya tak boleh tahan sakit.
“Saya minum campuran itu pada petang Selasa dan Rabu baharu beritahu suami. Lalu suami bergegas bawa saya ke Hospital Gua Musang untuk rawatan.
“Saya ditahan di wad semalaman dan doktor tidak menolak kemungkinan, ia kesan sampingan kerana saya mempunyai banyak penyakit,” katanya yang masih belum pulih sepenuhnya lagi.
Sementara itu, suami Siti Hajar, Mohd Fauzi Zakaria, 39, telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pengasas kopi terbabit.
“Pada asalnya saya tidak tahu isteri saya minum kopi dengan cecair peluntur kerana saya tidak berada di rumah ketika kejadian.
“Lepas saya tahu mengenai perkara ini, saya marah isteri sehingga tidak bertegur dengan dia,” katanya.
Susulan kejadian, Siti Hajar cuba mendapatkan penjelasan daripada rakan yang memperkenalkan produk itu kepadanya.
Namun, rakannya bukan sahaja enggan bertanggungjawab malah meminta agar Siti Hajar tidak terlalu memikirkan mengenai perkara ini.
“Dia kata jangan percaya komen negatif yang ditulis di Facebook kerana “biasalah ada orang nak tutup periuk nasi mereka”, mereka kan berniaga.
“Saya risau (kesihatan) anak saya pula sebab dia pun minum juga,” tambah Siti Hajar.