KEMAMAN – Mangsa lemas di Pantai Teluk Kalong, Shahir Aqil Sharun, 19, sepatutnya melaporkan diri ke kem persediaan akhir Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Terengganu semalam, namun menangguhkannya untuk pergi pada sebelah petang.
Menurut bapanya, Sharun Ramli, 59, anaknya itu merupakan atlet pencak silat dan akan mewakili Terengganu pada kejohanan Sukma akan datang.
Bagaimanapun, hasrat mangsa untuk mewakili Terengganu tidak kesampaian apabila ditemui terdampar di pantai Teluk Kalong kira-kira jam 4.30 pagi tadi, manakala dua lagi rakannya masih hilang, dipercayai lemas.
“Sebelum ini dia pernah tercalon untuk mewakili Terengganu dalam Sukma pada tahun 2016 di Sarawak tetapi saya tidak izinkan sebab nak Shahir beri tumpuan dalam Sijil Pelajaran Malaysia pada masa itu.
“Dia memang seorang yang aktif dan komited dalam bidang yang diceburinya, tetapi Allah lebih sayangkan dia dan kami sekeluarga reda dengan ujian yang diberikan kepada kami sekeluarga,” katanya.
Menurut Sharun, kematian anak keempat dari lima beradik itu amat mengejutkan dan pemergiannya amat dirasai kerana Allahyarham seorang yang sangat ceria, aktif dan sangat mengambil berat terhadap semua orang.
Shahir merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Ibrahim Sultan, Johor dan mula aktif dalam sukan pencak silat sejak berusia 14 tahun.
“Kami sekeluarga tidak tahu dia hendak pergi memancing dan barbeku di Teluk Kalong kerana kami dimaklumkan hanya pergi ke rumah kenduri berdekatan rumah kami sahaja, selepas makan di kenduri itulah, arwah pergi berkelah ke Teluk Kalong bersama kawan-kawannya,” katanya.
Jenazah mangsa dituntut oleh ahli keluarganya di Unit Forensik Hospital Kemaman pada jam tiga petang, selepas selesai proses bedah siasat dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Jabur Kubur selepas solat Asar tadi.