Selepas membintangi drama bersiri Jangan Benci Cintaku, pelakon Amelia Henderson kembali menjadi perhatian peminat drama tempatan. Namun ada juga segelintir berteka-teki mengenai status rumah tangga yang dibina.

Menerusi laporan BH Online, pelakon kacukan India-Scotland akhirnya mengakui telah berpisah dengan bekas suaminya, Tunku Datuk Harrunnarasheed Putra Tunku Annuar pada tahun ini, namun tidak berkongsi tarikh mereka bercerai.

“Sebelum ini, saya sengaja menggantung persoalan ini hingga ramai berteka-teki mengenai status rumah tangga saya. Bukan apa, kadang kala apabila kita hanya berkongsi sedikit, persepsi orang ramai jauh tersasar. Saya tidak izinkan mereka berkata sesuatu yang tidak benar.

“Namun, tidak adil pula rasanya apabila bekas suami dikaitkan dalam kehidupan saya sebagai figura awam. Saya tidak mahu bekas suami menjadi mangsa cemuhan,” katanya.

Tambah pelakon berusia 23 tahun itu, sudah tiba masa yang sesuai untuk bercerita perkara sebenar daripada membiarkan orang ramai berterusan ‘membawang’ tentang status perhubungan mereka.

“Perkahwinan kami terlerai di pertengahan jalan adalah ketentuan Tuhan. Mungkin ada yang menganggap saya bercerai kerana berkahwin pada usia muda dan tidak matang, tetapi orang dewasa juga ada yang berpisah. Semua itu takdir yang tercatat dalam perjalanan hidup saya,” ujarnya lagi.

Walaupun dia agak sukar meluahkannya kerana perlu menjaga hati kedua-dua pihak namun Amelia tidak tertekan dengan dugaan tersebut sebaliknya bersyukur dengan kurniaan rezeki lakonan yang melimpah ruah.

Bercerita mengenai kehidupannya yang kembali solo, pelakon yang pernah membintangi lebih 140 iklan komersil sejak kanak-kanak itu mengakui belum terfikir untuk mencari pengganti kerana sibuk dengan jadual seharian.

Setahun setengah menjalin hubungan cinta, namun perkahwinan dibina pada 14 Ogos 2015 itu tidak dikurniakan cahaya mata.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.