“PERSIAPAN majlis akad nikah sudah dibuat, namun adik tidak hadir menyebabkan perkahwinan saya terpaksa dibatalkan,” kata Nur Nasoha Nabila Annas Razali, 22, selepas walinya itu gagal hadir pada majlis perkahwinannya, 1 Ogos lalu.

Berikutan itu, Nur Nasoha meminta orang ramai supaya dapat mengesan adik kandungnya, Muhammad Firdaus Razali, 18, bagi mewalikan perkahwinannya itu.

Nur Nasoha berkata, adiknya itu sebelum ini bekerja di kafe di Genting Highlands dan bersetuju untuk pulang menjadi walinya.

“Adik terpaksa menjadi wali saya kerana ayah, Razali Wan Nik, sudah lama meninggal dan kali terakhir saya menghubungi adik pada 30 Julai lalu.

“Dia memberitahu bersetuju mewalikan perkahwinan saya dan berjanji akan pulang ke kampung pada 31 Julai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Jengal, Dungun, hari ini.

Katanya, pada 30 Julai, dia sekali lagi menghubungi adiknya itu, namun panggilan tidak dijawab dan dia menyangka walinya itu akan sampai ke kampung pada pagi hari perkahwinannya itu.

Bagaimanapun, katanya, adiknya tidak muncul menyebabkan dia terpaksa membatalkan perkahwinan dan menukar kepada majlis kenduri kecil dengan menjemput jiran dan jemaah masjid sahaja.

“Keesokan harinya, saya ditemani bakal suami pergi ke Genting Highlands mencari adik saya, namun kami kecewa apabila dimaklumkan adik sudah berhenti kerja.

“Kami hanya tiga beradik dan kami tidak pernah bergaduh atau ada perselisihan faham dan sehingga kini kehilangannya menjadi tanda tanya.

“Saya sudah mengadukan perkara itu kepada Mahkamah Syariah Daerah Dungun dan perlu mencari adik termasuk menyiarkannya di akhbar untuk meneruskan urusan seterusnya,” katanya.

Menurutnya, dia meminta orang ramai yang menemui atau mengenali adiknya itu supaya menghubunginya di talian 017-9017123.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.