KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, berkata hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020 tidak akan tercapai.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, hasrat itu sukar dicapai kerana masih ramai rakyat yang hidup dalam kemiskinan.

“(Menjadi negara mahu menjelang) 2020 tidak boleh, mustahil. Sukar untuk capai kerana penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mencapai tujuh juta keluarga.

“Jika di setiap rumah ada dua, tiga ahli keluarga lagi, maka jumlahnya seramai 21 juta iaitu dua pertiga daripada jumlah penduduk Malaysia, maka bagaimana mahu mencapai status negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program temu bual eksklusif Soal Rakyat yang disiarkan di TV3 malam tadi. Rancangan itu bersiaran selama sejam dengan Tan Sri Johan Jaafar dan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai moderator.

Daim bagaimanapun berkata, status Malaysia sebagai negara maju mampu dicapai jika usaha ke arah itu dilakukan bermula sekarang.

“Kita boleh jika bermula sekarang, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap dalam dua tahun ini, kerajaan boleh mula perbetul (kesilapan), apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambilalih, ia akan diteruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Daim menafikan dakwaan kononnya beliau mewujudkan konspirasi dan mempengaruhi pemilihan sebuah parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

“South China Morning Post (SCMP) ada bertanya kepada saya mengenai ini, begitu juga dengan Singapura. Saya kata yang pertamanya saya sudah tua, sudah bersara, malah kini sudah tiada parti selepas dibuang UMNO. Jika saya berpengaruh, UMNO tidak akan membuang saya.

“Sebenarnya saya tidak terbabit dalam parti lain, kenapa perlu saya terbabit? Orang tidak tahu hubungan saya dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya sudah lama mengenali beliau.

“Saya beritahu kepada Singapura dan SCMP, Anwar akan ambil alih (jawatan Perdana Menteri). Anwar ada kekuatannya sendiri, kita tahu. Saya memang percaya Anwar akan mengambil alih,” katanya.

Katanya, segelintir pihak yang mewujudkan persepsi negatif itu disifatkan sebagai cuba mencari pengaruh.

“Mereka menggunakan satu alasan seperti ketiadaan modal. Ia menunjukkan golongan ini mahu mencari pengaruh, apabila tiada pengaruh mereka menggunakan orang luar.

“Ini soal dalaman parti, kenapa biarkan orang luar masuk. Saya pun tidak boleh jawab soalan ini kerana saya bukan ahli parti,” katanya.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.