PAGOH: Sekurang-kurangnya tiga maut dan 25 cedera selepas sebuah bas ekspres terbabit dalam kemalangan dengan lori kontena dan lori tangki di kilometer 142.5 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran susur keluar Pagoh, Johor.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Muar Marzuki Ismail berkata mereka yang meninggal dunia adalah pemandu bas ekspress itu dikenal pasti sebagai Shuaib K.K Mohamed Unny, 50, manakala dua lagi adalah penumpang bas yang masih belum dikenal pasti identiti mereka
“Kita terima panggilan pada jam 1.08 petang sebelum lima jentera dengan kekuatan 23 anggota dari Balai Bomba Muar dan Bukit Gambir dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi menyelamat tamat jam 2.10 petang tadi.
“Seorang lagi pemandu dan 25 penumpang bas ekpress itu selamat, pemandu lori treler dan lori tangki yang terlibat dalam kemalangan sama juga selamat. Punca kemalangan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar untuk rawatan.
“Mangsa yang meninggal dunia diserah kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan itu lagi.