KUALA LUMPUR – Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkiffli dan pemain profesional, Tan Chun Seang masing-masing dijatuhi hukuman penggantungan 20 tahun dan 15 tahun daripada terlibat dengan sebarang aktiviti melibatkan sukan badminton.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjatuhi hukuman tersebut bermula 12 Januari 2018, selepas kedua-dua pemain berkenaan didapati terlibat dengan aktiviti mengatur perlawanan.
Zulfadli didapati bersalah kerana terlibat dengan 27 kesalahan melibatkan kes mengatur perlawanan, manakala Chun Seang terbabit dengan 26 kes.
Badan bebas yang mengendalikan kes tersebut dalam satu kenayataan, hari ini memberitahu, kedua-dua pemain itu terlibat dengan kesalahan rasuah dalam beberapa siri kejohanan bermula 2013.
“Bagaimanapun, Zulfadli lebih banyak melakukan kesalahan dan melakukannya untuk tempoh lebih lama berbanding Chun Seang, selain dapat dibuktikan telah memanipulasi keputusan dalam empat perlawanan,” katanya.
Hukuman penggantungan itu bukan sahaja melibatkan pertandingan tetapi meliputi bidang kejurulatihan, pembangunan, selain tidak dibenarkan terlibat dalam bidang pengurusan dan juga merasmikan sebarang program melibatkan badminton.
Zulfadli dan Chun Seang masing-masing dikenakan denda sebanyak AS$25,000 (RM98,162) dan AS$15,000 (RM58,897). – UTUSAN ONLINE