Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta maaf bagi pihak admin Mukhriz Mahathir FC yang dikatakan salah muat naik posting mengenai berita sumbangan USB1 bilion dari Sultan Brunei.
Beliau kesal dengan perkara itu dan berharap kesilapan itu tidak akan berlaku lagi.
“Saya minta maaf atas posting tersebut, ianya tidak sepatutnya berlaku.
“Posting itu gunakan sumber yang tidak dapat disahkan, perkara itu tidak akan berlaku, insyaALLAH,” katanya, dalam sidang media selepas ditemui pada Majlis Kenduri Rakyat dan Kesyukuran Parlimen Jerlun di Pusat Kegiatan Masyarakat (Kemas) Jerlun, Alor Biak, di sini, pada Selasa.
Sebelum itu, laman Mukhriz Mahathir FC memohon maaf berhubung posting mengenai sumbangan USD1 bilion yang dikatakan dari Sultan Brunei, mengakui ia tidak benar dan satu kesilapan di pihak admin.
Pada Isnin, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) bagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Baginda tiba 11.43 pagi dengan memandu sendiri kereta Mercedes serta diiringi rombongannya. Turut bersama baginda di dalam kenderaan itu Putera Abdul Mateen.
Difahamkan, ketibaan Sultan Brunei menjadikan kunjungan pertama pemimpin negara luar selepas Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Susulan pertemuan itu, gambar-gambar pertemuan ditular dalam media sosial kononnya dalam lawatan Sultan Brunei, beliau memberi sejumlah besar wang kepada kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi negara tanpa perlu dibayar balik.