SUASANA pilu menyelubungi perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, hari ini ketika keluarga menunggu proses bedah siasat mayat tiga beradik yang maut akibat ditetak lelaki di rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad, Rungkup di Bagan Datuk, semalam.
Bapa mangsa, Mohd Fadzil Mohammad, 32, antara ahli keluarga yang berada di situ dan dia kelihatan lemah sehingga terpaksa dipapah dan ditenangkan ahli keluarga terdekat yang lain.
Ahli keluarga dan sahabat handai yang tiba di situ sejak 9 pagi sabar menunggu jenazah diuruskan.
Difahamkan, sehingga 12.30 tengah hari tadi, dua daripada tiga mayat berkenaan sudah dibedah siasat, manakala satu lagi mayat dijangka akan dilakukan petang ini.
Tiga beradik yang maut itu adalah Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2 dan dua abangnya, Muhammad Firash Zaffril, 3 dan Mohammad Faqhqih Zahirulhaq, 5.
Sementara itu, seorang ahli keluarga terdekat mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 38, berkata, bapa mangsa masih berada dalam keadaan trauma dan rebah beberapa kali sejak kejadian.
Beliau berkata, ketika kejadian, ibu mangsa, Zuraidah Md Ali, 35, yang juga sepupunya sempat menghubungi telefon bimbitnya meminta tolong sebaik kejadian berlaku.
“Zuraidah menghubungi saya meminta tolong.
“Rumah saya hanya berada satu meter selang dari rumah mereka, saya mendengar sepupu menjerit beberapa kali minta tolong dan budak-budak berteriak menangis, tidak lama selepas itu suara makin sayup dan terus senyap,” katanya.
Zul berkata, sejurus kemudian dia melihat suspek berada di tepi jalan dan berjalan beredar dari rumah mangsa dalam keadaan seluar berlumuran darah dan tangan memegang parang.
“Selepas dia beredar dari situ saya terus ke rumah mereka dan melihat semua anak-anak (mangsa) sudah bergelimpangan dan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di HRPB, hari ini.
Zul berkata, pasangan itu sempat meraikan hari jadi anak sulung mereka, Nur Zuryn Faziera, 9, di restoran makanan segera malam sebelum kejadian.
Beliau turut mengesahkan suspek dan bapa mangsa adalah pekerja di ladang kelapa sawit miliknya.
“Suspek dan Mohd Fadzil memang berkawan baik sejak kecil lagi. Sebelum ini mereka tidak pernah bertelagah atau bergaduh,” katanya.
Dalam kejadian 2 petang itu, Zuraidah yang turut berada di rumah itu juga parah dengan putus ibu jari kanan dan pergelangan tangan kiri hampir putus.
Selepas menyerang keluarga itu, suspek pergi ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad sebelum mencederakan pula anak sulung Zuraidah, Nur Zuryn Faziera, 9.
Rakan sekolah anak sulung keluarga berkenaan dikenali sebagai Aina berusia sembilan tahun dan seorang ustaz dikenali sebagai Riduan berusia 40 tahun juga cedera dalam kejadian amuk itu apabila suspek bertindak ke sekolah berhampiran untuk menetak Nur Zuryn Faziera yang ketika itu berada di pondok di hadapan sekolah.
Polis hari ini turut mengesahkan seorang anggota polis turut cedera pada tangan akibat terkena parang suspek ketika mahu menahannya di kawasan sekolah berkenaan pada 2.45 petang.