Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) percaya keputusan pilihan raya kecil Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu menunjukkan anggota dan penyokong PAS menolak sikap parti itu yang kian lunak kepada BN.
Ketuanya Mohd Sany Hamzan berkata sejak turun-temurun BN ialah musuh tradisi PAS namun pemimpin parti itu mengambil sikap bertentangan semasa pilihan raya kecil tersebut.
Di sebalik pendirian pemimpin, kata Mohd Sany, rakyat – termasuk penyokong PAS – bijak membuat penilaian secara rasional sehingga membawa kepada kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Mohd Sany yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Temple berkata BN – dan PAS secara tidak langsung – akhirnya ditolak pengundi walaupun mereka melakukan pelbagai serangan untuk membina persepsi buruk terhadap PH.
“Keputusan di Sungai Kandis membuktikan rakyat menolak mainan sentimen agama dan perkauman sempit oleh pembangkang – khususnya PAS – yang agak keterlaluan memberi gambaran buruk kepada kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pilihan raya kecil Sungai Kandis diadakan ekoran kekosongan kerusi tersebut apabila penyandangnya Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu.
Ia berlaku kurang dari 100 hari selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 berakhir.
Mohd Zawawi dicabar oleh calon BN yang mendapat sokongan PAS, Datuk Lokman Noor Adam, serta seorang calon bebas, K Murthy.
HARAPAN mengekalkan kerusi tersebut dengan kelebihan 5,842 undi, namun untuk rekod peratusan yang keluar mengundi sangat rendah, iaitu kurang daripada 50 peratus.
Mohd Sany berkata melihat kepada sikap semasa PAS itu Pemuda PAN menggesa rakyat secara keseluruhan mengambil sikap seperti penyokong PAS di Sungai Kandiss, iaitu terus memberikan sokongan kepada PH.
Katanya Pemuda PAN juga menyeru anggota PAS supaya membuat perubahan kerana parti terbabit dilihat semakin menyimpang daripada perjuangan asalnya.
“PAN membuka peluang dan ruang sepenuhnya kepada ahli serta penyokong PAS untuk menyertai parti ini yang turut berlandaskan Islam serta dengan konsep rahmatan lil alamin,” katanya.
Untuk rekod selepas Sungai Kandis negara ini bakal menyaksikan dua lagi pilihan raya kecil dalam tempoh terdekat, iaitu di Balakong dan Seri Setia.
PAS hampir pasti akan menurunkan calonnya di Seri Setia berdasarkan kepada ‘restu’ yang diberi pemimpin tertinggi Umno baru-baru ini.