Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) amat meresahkan rakyat.
Katanya, pelaksanaan itu bakal memberikan kesan berganda kenaikan harga barang selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan.
“Jadi kalau ini naik, ia beri kesan kos kehidupan naik maka orang putih sebut kesan berganda GST.
“Pemansuhannya tak beri kesan yang diharapkan dan ditambah dengan SST maka beban pada rakyat akan terus bertambah, tak kesampaian apa dijanjikan oleh kerajaan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam istiadat pembukaan penggal pertama Parlimen Ke-14 hari ini, yang menyokong pemansuhan GST.
Katanya, berdasarkan reaksi orang ramai mereka kecewa apabila GST disifarkan dan dalam masa yang sama harga barangan tidak turun.
“Ada juga yang turun macam harga kereta tapi umumnya harga-harga yang jadikan barangan harga rakyat tak turun malah ada yang naik.
“Jadi impak kesan yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan bahawa mereka akan kurangkan kos sara hidup tidak akan tercapai,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu, Akta SST dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan dan seterusnya dilaksanakan bermula 1 September ini.
Lim berkata, di bawah akta yang dicadangkan itu, cukai jualan akan dikenakan sebanyak 10 peratus sementara cukai perkhidmatan akan dikenakan sebanyak enam peratus.