SONGKOK Style Tun yang dijual di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, bukanlah jenama yang asing lagi di Kedah kerana ia diketahui ramai merupakan songkok kegemaran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, sejak dahulu lagi.

Dihasilkan Sardi Sahar, 60, reka bentuk songkok yang diilham pada 2002 itu menggunakan kain baldu tebal dari Korea serta mempunyai ciri menarik iaitu boleh dilipat dengan hanya menekap bahagian tepi songkok tanpa menjejaskan atau merosakkan bentuknya.

“Setiap kali Ramadan memang Tun (Dr Mahathir) tak pernah lepas berkunjung ke Pekan Rabu untuk membeli songkok di sini, sebelum ini songkok ini biasa saja tapi pada 2002 saya inovasikan songkok ini agar boleh dilipat dan lebih ringan dan saya perkenalkan kepada Tun, dan beliau menyukainya.”

“Malah saya juga amat terharu pada 2008 Tun benarkan saya gunakan gambarnya pada kotak songkok ini tanpa meminta sebarang bayaran, hanya dia pesan agar saya menjaga kualiti songkok,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Pekan Rabu di sini hari ini.

Beliau berkata kebiasaannya songkok berharga RM120 itu mendapat permintaan tinggi setiap kali menjelang Aidilfitri, malah selepas Dr Mahathir dilantik sebagai perdana menteri buat kali kedua, permintaan songkok itu meningkat kira-kira 30 peratus.

Sementara itu seorang pelanggan Datuk Bahador A Rahaman yang datang bersama anaknya, Muhammad Adam Danial, 10, berkata beliau adalah pelanggan tetap kedai itu dan amat meminati hasil kerja tangan Sardi yang kemas.

“Hari ini saya belikan songkok untuk anak saya kerana saya suka buatannya kalau pakai tidak panas dan berpeluh malah yang paling penting tidak mengecut kalau letak dalam kereta,” katanya yang berasal dari Langkawi.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.