PUTRAJAYA – Sebanyak 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri (JPM) direman lima hari kerana dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bernilai RM3.5 juta.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabilah Abd. Rashid selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kesemua suspek itu sehingga Ahad ini.
Terdahulu, kesemua lelaki itu dibawa dengan menaiki sebuah bas SPRM ke Mahkamah Majistret di sini hari ini dengan pakaian lokap reman SPRM.
Mereka yang berusia antara 31 hingga 51 tahun itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan antara 2.45 dan 3.15 petang di ibu pejabat SPRM semalam.
Menurut sumber, SPRM telah merampas wang tunai RM840,700 dan sembilan motosikal pelbagai jenama yang masing-masing berjumlah RM10,000.
Kata sumber itu lagi, mereka didakwa menyalahguna peruntukkan dana yang sepatutnya digunakan untuk PRU-14. – UTUSAN ONLINE