Berita baik buat peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih tidak memperoleh gaji RM4,000, anda akan dikecualikan daripada membuat sebarang bayaran serta merta.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menegaskan bahawa langkah itu berkuat kuasa serta-merta sebagai menunaikan janji pilihan raya yang lalu.
“Di peringkat pengajian tinggi, kita akan memberikan tumpuan sebab kita janji dalam 100 hari untuk meletakkan syarat kepada pembayar PTPTN iaitu mereka yang belum mencapai gaji RM4,000 mereka tak perlu membayar.
“Cuma kita perlu berhubung dengan pihak imigresen untuk menarik sekatan perjalanan mereka. Itu antara janji yang perlu kita tunaikan dan jadi keutamaan,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Apabila ditanya sekiranya gaji peminjam mencecah RM4,000 dalam masa beberapa tahun akan datang, mereka dialu-alukan membuat bayaran sebagai tanda tanggungjawab.
“Tidak perlu bukan tak payah, kalau mereka nak bayar lagi bagus. Kita ingin wujudkan dalam kalangan warga Malaysia sikap bertanggungjawab. Bila gaji mereka sampai RM4,000 atau tak sampai mereka nak bayar pun dialu-alukan. Itulah sikap yang sepatutnya ada,” katanya.