SHAH ALAM – Jangan sesekali cuba dadah kerana selama-lamanya anda akan terjebak, demikian perkongsian penyanyi popular, Ameng Spring.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkata, ganja merupakan dadah yang mula-mula beliau rasa dan diberikan secara percuma oleh rakannya.
Menurutnya, beliau cuba sekali dan berasa sangat bertenaga dan keesokkannya beliau meminta lagi dan akhirnya terjebak.
“Saya tidak nafikan ketika mengambil dadah rasanya sangat bertenaga sehinggakan saya mampu menyanyi dalam tempoh yang lama.
“Saya juga akui semasa menjadi mangsa dadah, kehidupan kucar-kacir. Saya tiga kali bankrap dan duit royalti hasil nyanyian juga entah ke mana, katanya dalam Wacana Sinar Harian Siri 69 bertajuk: Dadah: “Aku Peduli Kau Jangan Tidak Peduli.” di sini.
Ameng turut berkongsi selama tiga bulan beliau diganggu suara ghaib.
“Selama tiga bulan saya diganggu suara ghaib dan ALLAH SWT buka hijab saya untuk melihat dunia ghaib.
“Isteri saya juga takut untuk tidur bersama saya bimbang jika saya terjaga saya akan menikamnya.
“Saya sungguh beruntung kerana suara ghaib itu tidak menyuruh saya melakukan aktiviti yang tidak sihat seperti menyuruh saya membunuh. Suara itu seolah-olah memberi keinsafan kepada saya,” katanya.
Menurutnya, malangnya walaupun tiga bulan suara itu bersamanya, beliau masih tidak insaf dan masih tega menjadikan dadah sebagai sahabat.