SERDANG: “Kemalangan bukan kerana saya tertidur ketika memandu,” kata penceramah terkenal, Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang terbabit dalam kemalangan di Bukit Mahkota, Bangi, hari ini.
Kemalangan jam 8.30 pagi itu ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjadi panel program bual bicara pagi di stesen televisyen swasta.
Kereta Mercedes Benz yang dipandunya terbabas dan terlanggar pokok sebelum musnah terbakar.
Katanya, sudah menjadi kelaziman beliau menjadi panel pada Ramadan untuk program berkenaan, dan minggu ini gilirannya mengendalikan sesi soal jawab dalam program itu.
“Saya bangun jam 4 pagi hari ini (semalam) dan pada jam 5.40 pagi, saya sudah keluar dari rumah… penat itu mungkin ada tetapi tidaklah sampai betul-betul kepenatan.
“Ketika memandu pulang, saya masih fokus dengan pemanduan, namun tiba-tiba seekor anjing melintas. Saya sempat mengelak dan ketika itu suasana menjadi kosong, tidak sampai beberapa saat kemudian saya sedar dalam keadaan beg udara sudah terkeluar dan tingkap pintu dan cermin depan retak.
“Pada masa itulah saya sedar terbabit dalam kemalangan. Saya keluar dan sebaik sampai di tepi jalan, saya lihat kereta mula terbakar,” katanya ketika ditemui di Hospital Serdang petang ini.
Pensyarah kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, ketika terbaring di tepi jalan, ramai orang datang membantunya dan mendail talian kecemasan.
“Ketika terbaring, saya dapat lihat pokok yang saya langgar, pokok itu berada di tengah jalan, di atas pembahagi jalan,” katanya.
Beliau dihantar ke hospital dan pemeriksaan doktor mengesahkan hanya mengalami luka di bahagian kaki.
“Imbasan sinaran X juga mengesahkan tiada tulang patah, cuma buat masa ini masih menunggu keputusan ujian untuk kecederaan organ dalaman. Saya mohon rakan mendoakan kesihatan saya semoga kembali sembuh,” katanya.
Dalam kemalangan jam 8.30 pagi itu, kereta Mercedes Benz yang dipandu Mohd Izhar terbabas dan terlanggar pokok sebelum musnah terbakar.
Terdahulu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM), Siti Ramizah Mohd Khalid, berkata sepasukan lima anggota APM dihantar ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan jam 8.35 pagi.
Setiba di lokasi 10 minit kemudian, pasukan itu mendapati kenderaan berkenaan sedang terbakar dan mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan.