KUALA ROMPIN – Pengumuman pelantikan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malek sebagai Menteri Pendidikan dalam senarai kabinet baharu Tun Dr Mahathir Mohamad disambut baik.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu diharap dapat mengubah sistem pendidikan negara supaya menjadi lebih baik dan sesuai dengan kemajuan serta masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Bagaimana pun, Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan) Rompin, Mohd Fadzli Mohd Ramly memberikan reaksi berbeza di Facebooknya.

“Rata-rata saya dengar amat besar harapan dan gembira dengan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan baru..macam-macam cadangan diberikan kepada beliau..hapus silibus itu ini, ubah teknik pembelajaran dan sebagainya.

“Saya cuma nak cadang satu jer, satukanlah suami isteri yang terpisah jauh kerana pertukaran mengarut. Berilah peluang anak-anak dapat didikan sempurna dari ibu bapa mereka dalam satu masa dan tempat,” katanya.

Status yang dimuat naik itu turut mendapat pelbagai reaksi positif daripada rakan-rakan Facebooknya dan tidak kurang yang melontarkan persoalan.

Pemilik akaun bernama Ai M Mya di ruangan komen mempersoalkan sekiranya semua guru mahu bertukar mengikut suami atau isteri yang bekerja di bandar, siapa pula mahu mengajar sekolah di luar bandar sambil meminta penyelesaian kepada persoalan itu.

Menjawab soalan itu, Mohd Fadzli menjelaskan bahawa bukan semua diminta atau diarahkan mengajar di kawasan bandar.

“Kita minta suami isteri guru jangan dipisahkan dengan jarak yang keterlaluan.. (contoh) suami di (Pulau) Tioman, isteri di Sabah,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara dan menyerahkan senarai Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Menteri Persekutuan yang baharu.

Dalam senarai kabinet itu, Dr Maszlee antara Ahli Parlimen Parti Bersatu yang dinamakan Menteri Pendidikan.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.