KOTA BHARU: PAS menyifatkan manifesto yang ditawarkan Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu dirangka oleh satu jawatankuasa yang tidak mempunyai pengalaman sehingga menyebabkan janji mereka gagal dilaksanakan dalam masa 100 hari.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata jawatankuasa itu hanya merangka janji tanpa kajian dan maklumat yang jelas.
Beliau berkata, kemungkinan mereka beranggapan manifesto yang ditawarkan itu mudah dilaksanakan, sedangkan dalam kerajaan mempunyai prosedur, peraturan dan aspek yang perlu diambil kira.
“Masalahnya orang lain yang merangka manifesto, bukan dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpengalaman luas dalam kerajaan.
“Mungkin mereka tiada pengalaman menjadi sebuah kerajaan sebelum ini menyebabkan tidak mengetahui selok-belok dan kaedahnya.
“Dia (jawatankuasa rangka manifesto) ingat benda (manifesto) ini terlalu ‘simple’ dilaksanakan, hari ini jadi kerajaan, esok terus boleh dilaksanakan? Rakyat memberi mandat kepad PH menjadi kerajaan kerana antara faktor besar adalah janji mereka tawarkan.
“Apapun, oleh kerana mereka (PH) sudah menjadi kerajaan walaupun selepas 100 hari masih gagal tunai janji terutama mengenai tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta harga petrol, kita harap janji itu akan dilaksanakan mungkin dalam masa lebih setahun,” katanya selepas Mesyuarat Exco, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai corak pentadbiran kerajaan baharu pula, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, menyifatkan kebanyakan menteri dilihat ‘struggling’ (bergelut) untuk menggalas jawatan itu terutama dalam membuat kenyataan, menjawab soalan di Dewan Rakyat serta mengendalikan sebarang isu.
“Mungkin mereka tiada latar belakang menjadi seorang menteri, namun kita menganggap ia sebagai proses pembelajaran dan diharap mereka akan mengatasinya dalam jangka masa panjang.
“Walaupun sikap meminta maaf ini bagus, namun ia menunjukkan bahawa kita belum bersedia…tidak selidik dengan betul dengan isu atau subjek yang kita kendalikan,” katanya.