DUBAI 16 Jun – Padi kini boleh hidup subur di kawasan padang pasir dekat sini berikutan kejayaan sekumpulan saintis China menggunakan teknik saringan garam daripada air laut.
Kumpulan diketuai saintis yang terkenal sebagai ‘bapa beras hibrid’, Yuan Longping berjaya menghasilkan padi menggunakan teknik sama di China dan membawa teknik itu ke Asia Barat.
Padi berkenaan yang ditanam pada Januari lalu telah mengeluarkan hasil di luar jangkaan para saintis, lapor agensi berita Xinhua.
Kira-kira 7,500 kilogram (kg) padi berjaya dihasilkan bagi setiap hektar berbanding purata keluaran global iaitu 3,000 kg bagi keluasan yang sama dan ini memberi rangsangan kepada saintis terbabit untuk meluaskan projek berkenaan.
Tahun ini mereka merancang untuk menanam padi di kawasan seluas 100 hektar dan meningkatkan keluasan tanaman selepas 2020.
Menurut laporan tersebut, matlamat utama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) adalah untuk memperuntukkan 10 peratus daripada keluasan negara ini iaitu kira-kira seluas 83,600 kilometer persegi untuk penanaman padi.
Bagaimanapun perincian tentang pelaksanaan itu tidak didedahkan.
Laporan Xinhua menyebut, usaha Dubai itu adalah hasil kerjasama pusat penyelidikan ‘padi air masin’ yang berpangkalan di pelabuhan Qindao, China dengan Pejabat Peribadi Sheikh Saeed Ahmed Al Maktoum, seorang bilionair yang juga anggota keluarga kerajaan yang memerintah.
Kedua-dua pihak juga turut menandatangani perjanjian untuk mempromosikan ‘beras air masin’ ke rantau Arab bagi mengurangkan risiko kekurangan bekalan makanan pada masa depan.
Jika saintis di beberapa negara yang menghadapi masalah air bersih seperti Australia membangunkan teknik penyahgaram air laut untuk pertanian, China pula membangunkan padi tahan garam sejak empat dekad lalu.
Walaupun masih belum jelas cara mendapatkan air bersih untuk menyaring air laut bagi projek penanaman padi berskala besar di Dubai, namun saintis China memulakan projek yang sama di negaranya.
Projek berkenaan bermula pada 1970-an apabila seorang penyelidik, Chen Risheng menemukan spesies padi liar yang tumbuh berhampiran paya bakau di wilayah Guangdong.