KAJANG: Polis sudah mengambil keterangan guru yang didakwa menampar seorang murid tahun dua hingga cedera di bahagian tengkuk kanannya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, berkata guru berkenaan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian itu.
“Guru itu mengaku ada menampar murid berkenaan, namun tidak kuat hingga boleh mendatangkan kecederaan seperti dialami mangsa pada bahagian tengkuk kanannya.
“Malah, guru berusia 47 tahun itu ada membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, berdasarkan laporan polis dibuat guru itu, dia menafikan lebam itu akibat ditampar sebaliknya kesan itu dipercayai akibat penyakit beguk.
“Kami sedang menunggu laporan pemeriksaan kesan lebam terhadap mangsa yang dibuat di Hospital Kajang.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan nenek mangsa dalam masa terdekat memandangkan kanak-kanak itu di bawah jagaan neneknya.
“Kertas siasatan berhubung kejadian ini sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja,” katanya
Sementara itu, ibu kepada murid terbabit ketika dihubungi, berkata keluarganya menunggu laporan perubatan daripada hospital sebelum membuat sebarang tindakan atau kenyataan lanjut.