Baru-baru ini tular di media sosial mengenai dakwaan seorang pengguna Facebook bahawa pewarna merah tiruan yang sering digunakan dalam industri penyediaan makanan selama ini telah difatwakan oleh haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Melalui gambar yang dimuat naik oleh lelaki tersebut, paparan pada satu ‘slide’ yang ditayangkan di skrin berbunyi ”Pewarna yang berasal dari cochineal yang diberi kod C.I. 75470 atau E1 20 sama ada pada makanan, minuman ubat-ubatan ataupun kosmetik adalah tidak halal dimakan dan tidak suci untuk digunakan”.

Selain itu, lelaki tersebut turut berkongsi beberapa keping gambar produk pewarna yang didakwa mempunyai kod yang sama seperti yang tertera pada slide tersebut.

Perkongsian tersebut bagaimanapun disangkal oleh beberapa orang netizen yang berpendapat bahawa lelaki itu perlu terlebih dahulu membuat kajian rapi sebelum menyebarkan sesuatu dakwaan.

Malah ada netizen yang memberitahu bahawa kod yang tertera pada bahagian label jenama yang dimuat naik itu berbeza dengan kod yang tertera pada paparan slide.

Hasil carian juga menunjukkan perkara yang sama. Kod bagi produk tersebut adalah CI 14720, bukannya CI 75470 seperti yang didakwa.

Hasil carian juga menemui satu kenyataan fatwa berlainan yang sudahpun dikumpulkan dalam Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, Cetakkan Ke-5 oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Fatwa mengenai hukum menggunakan pewarna tiruan jenis cochineal itu berada dalam Bab 7 (Makanan dan Minuman), Perkara 14 dibawah tajuk : Hukum Bahan Pewarna Cochineal : Kajian Semula Kadar Piawaian Yang Ditetapkan Oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI 2012, halaman 178.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4 hingga 6 Julai 2012 menyebut:

”Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa cochineal adalah jenis serangga (kumbang betina) yang tidak membahayakan dan zat pewarna yang dihasilkan daripada cochineal boleh dimanfaatkan oleh manusia. Dari segi perundangan negara, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah menetapkan bahawa pewarna carmine yang diperolehi dan dihasilkan daripada cochineal adalah dibenarkan berdasarkan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP),”

Ia turut menyebut, Jumhur Ulama bersepakat bangkai bahawa serangga yang darahnya tidak mengalir adalah suci. Manakala, pewarna jenis cochineal pula diperoleh daripada serangga cochineal yang telah mati dan darahnya tidak mengalir.

Berdasarkan ketetapan tersebut, muzakarah yang bersidang itu kemudian membuat keputusan bahawa:

”Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan barang gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan,”.

Selain Muzakarah Fatwa di peringkat kebangsaan, Muzakarah Fatwa peringkat negeri turut membincangkan perkara yang sama. Antaranya adalah Mesyuarat Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Seleangor.

Selain Selangor, perkara yang sama turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang yang menetapkan hukum yang sama.

Jadi, dapat disimpulkan bahawa penggunaan pewarna tiruan yang dihasil daripada Cochineal adalah HARUS berdasarkan fatwa yang diterbitkan dengan kadar penggunaan menepati peraturan yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selagi mana ia tidak mendatangkan kemudharatan.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.