KOTA BHARU – Polis Kelantan hari ini menahan seorang pensyarah yang berasal dari negara Timur Tengah bagi membantu siasatan kes cabul seorang pelajar tempatan di sebuah kolej swasta, di sini.
Susulan kejadian pada Selasa lalu itu, lelaki berusia 50-an itu ditahan di rumah kediamannya di Nilam Puri, Kota Bharu kira-kira jam 1.30 awal pagi tadi selepas mangsa membuat laporan polis pada jam 2 petang semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan yang mengesahkan perkara itu berkata, kejadian berlaku pada jam 12.15 tengah hari ketika mangsa bersama sekumpulan pelajar lain sedang belajar sebelum mangsa dipanggil lelaki tersebut.
“Mangsa diarah ke pejabat pensyarah itu seorang diri. Apabila tiba di bilik tersebut, lelaki tersebut mengarahkan mangsa mengunci pintu dan diminta membuka purdah yang dipakainya.
“Kemudian, lelaki terbabit bertindak di luar batas dengan memegang bahu, menggosok belakang badan serta memeluk mangsa, namun pelajar wanita berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari bilik pensyarah,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Tambah Hasanuddin, mangsa kemudian cuba menceritakan kejadian tersebut kepada rakan baiknya, namun dihalang pensyarah tersebut.
“Bagaimanapun, mangsa telah mengajak rakannya ke tandas untuk menceritakan apa yang berlaku dan atas nasihat rakannya, mangsa telah melaporkan kejadian itu kepada pegawai keselamatan kolej.
“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” jelas beliau.