Seorang penumpang yang sedang menunggu pesawatnya berlepas dari lapangan terbang bandar Sichuan Mianyang, China, terasa panas lalu mengambil keputusan untuk membuka tingkap untuk mendapatkan udara segar, lapor Shanghaiist.
Malangnya, lelaki itu menarik tuil pembuka pintu kecemasan menyebabkan keseluruhan pintu itu tertanggal dan gelongsor kecemasan juga terbuka secara automatik.
Kejadian itu berlaku pada malam Sabtu lalu di mana penumpang bernama Chen, berusia 25 tahun terus ditahan oleh pihak berkuasa lapangan terbang berkenaan.
Dalam keterangannya kepada polis, Chen berkata dia tidak mengetahui tuil itu merupakan sebahagian daripada pintu kecemasan.
Katanya, dia hanya mahu membuka tingkap untuk mendapatkan udara segar kerana keadaan di dalam pesawat agak panas.
Ekoran kejadian itu, Chen ditahan selama 15 hari dan bakal dikenakan saman di atas tindakan ‘cerdiknya’ itu.
Difahamkan, syarikat penerbangan yang tidak didedahkan namanya itu mengalami kerugian 70,000 yuan (RM43,230.44) disebabkan tindakan penumpang terbabit.
Nama Chen juga akan dimasukkan dalam senarai hitam dari menggunakan pengangkutan udara bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.