PUTRAJAYA – Seorang pengarah urusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai menyalah guna kuasa dan menerima sejumlah wang suapan.

Menurut sumber, suspek berusia 56 tahun itu ditahan 9.35 pagi, hari ini, di kediamannya di Seremban, Negeri Sembilan.

“Suspek yang memegang jawatan sejak 2010 juga disyaki menamatkan perkhidmatan kira-kira 20 pegawai bawahan yang enggan bersubahat dengannya.

“Pegawai terbabit dipercayai menerima sejumlah wang daripada beberapa kontraktor sebagai suapan membenarkan mereka meneruskan projek walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Sumber itu berkata, SPRM masih menyiasat jumlah wang suapan yang diperolehi suspek namun setakat ini, wang tunai berjumlah RM 30,000 serta tiga kenderaan iaitu kereta Audi TT, pikap Toyota Hilux dan satu motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek sudah dirampas di kediamannya.

“SPRM juga membeku beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi kira-kira RM2.5 juta, disyaki diperolehi secara rasuah.

“Pembekuan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Akta SPRM dan Penggubahan Wang Haram,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, suspek mempunyai tiga anak memiliki sembilan rumah yang dipercayai dibeli secara tunai iaitu tiga rumah di Putrajaya, Kuala Lumpur (satu), Cyberjaya (satu) dan Negeri Sembilan (empat) yang semuanya bernilai kira-kira RM8 juta.

Suspek dijangka dibawa ke mahkamah di sini, bagi permohonan reman esok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan itu dan tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan akan dibuat, termasuk mereka yang memegang jawatan penting kerana menerima wang suapan serta salah guna kuasa.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.