SEREMBAN – Seorang ahli perniagaan wanita dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdaya seorang pelanggannya berkaitan pembinaan rumah, dua tahun lalu.
Majistret Mahyun Yusof membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Siti Norbaiyah Yahya, 43, atau dikenali Datuk Anggun mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahyun kemudian menjatuhkan hukuman penjara 11 bulan bagi pertuduhan pertama dan masing-masing 12 bulan bagi pertuduhan kedua dan ketiga namun, memerintahkan agar hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap.
Berdasarkan pertuduhan, ibu tunggal terbabit didakwa memperdaya Nazmi Nazer, 33, dengan menyerahkan tiga cek bernilai RM50,000 yang didaftarkan atas nama Syarikat Juta Kelulut Global Sdn. Bhd. antara 31 Mac 2017 hingga 31 Mei 2017 kepada mangsa.
Bagaimanapun, ketiga-tiga cek yang diserahkan kepada mangsa tidak dapat ditunaikan kerana tertuduh mengarahkan pihak bank memberhentikan pembayaran tersebut.
Ketiga-tiga perbuatan itu dilakukan di Nilai dekat sini masing-masing pada pukul 12.30 tengah hari, 4.30 petang dan 1.30 petang.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Muhammad Azri, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Azizi Abdull Aziz. – K! ONLINE