PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keputusan pembatalan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan saluran paip Strategic Energy Resources (SSER) belum muktamad.
Memetik wawancara Malaysiakini, beliau berkata, apa yang beliau lakukan pada lawatan rasmi ke China baru-baru ini adalah untuk menetapkan prinsip bergerak ke hadapan namun pembatalan, penangguhan atau penyelesaian cara lain projek berkenaan belum dapat ditentukan lagi.
“Hal-hal butiran dan perincian tidak pernah dibincangkan oleh perdana menteri atau presiden. Kebanyakan kerja ini perlu dibuat oleh pegawai.
“Saya berkata jika kita boleh, kita ingin membatalkannya. Jika kita tidak dapat, kita ingin menangguhkan dan melihat cara lain untuk menyelesaikan masalah kewangan kita.
“Ini adalah pilihan, bukan keputusan hitam dan putih. Anda perlu meninggalkan ruang untuk rundingan,” katanya.
Sementara itu, Mahathir yakin pencapaian paling besar daripada lawatan lima hari ke China adalah meyakinkan Beijing bahawa Malaysia tidak bermusuhan dengan republik itu sebaliknya perlu membekukan projek-projek itu kerana kebimbangan kewangan.
“China memahami bahawa tiada seorang pun daripada mereka berkata ‘tidak’ atau apa-apa (yang bermaksud) seperti itu. Saya menjelaskan kepada ketiga-tiga pemimpin – perdana menteri, ketua parti serta presiden.
“Mereka tidak pernah menolak dan mengatakan bahawa ia tidak betul … mereka semua mengakui bahawa kami mempunyai masalah kewangan yang hanya boleh diselesaikan dengan mengurangkan perbelanjaan,” katanya.
Pada masa sama, Mahathir juga menafikan dakwaan pengkritik yang mengatakan Beijing tidak berpuas hati dengannya.
“Mereka tidak kelihatan tidak berpuas hati malah saya diterima dengan baik oleh mereka dan kami mempunyai perbincangan yang sangat baik pada peringkat rasmi dan selanjutnya.
“Saya makan tengah hari dengan perdana menteri dan makan malam dengan presiden. Ketika itu, hubungannya juga sangat mesra,” katanya.
Mahathir berkata jumlah pampasan yang dijangkakan sangat besar dan perlu dibincangkan pada rundingan masa depan.
“Pampasan (yang perlu dibayar) disebut dalam perjanjian itu. Saya tidak membincangkannya kerana itu yang kami buat ketika rundingan sebenar di peringkat rasmi, kita perlu mengambil langkah itu,” katanya.