KUALA LUMPUR: Pemandu bas Rapid KL yang merempuh lima kenderaan di Jalan Ampang di sini, malam tadi dikatakan panik selepas dikejar sekumpulan lelaki selepas dia terbabit dalam satu kemalangan kecil di Persimpangan lampu isyarat AU Keramat.

Menurut satu mesej viral di media sosial dipercayai ditulis oleh seorang yang mengaku saksi kejadian itu, pemandu bas berkenaan pada mulanya dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar dari persimpangan lampu isyarat berkenaan menyebabkannya terlanggar bucu sebuah gerai burger di tepi jalan.

Saksi tanpa nama itu mendakwa, ibu kepada penjual burger yang kebetulan berada di situ dan sedang mengendong seorang nak kecil terperanjat menyebabkan kanak-kanak itu terlepas daripada tangan.

“Penjual burger berang dan marah kepada pemandu bas yang sudah pun memberhentikan basnya untuk melihat situasi gerai burger yang dilanggar.

“Namun pemandu bas terpaksa bergegas lari untuk menyelamatkan diri apabila melihat penjual burger bersama sekumpulan pemuda dari flat berhampiran mengejarnya,” dakwa saksi berkenaan dalam mesej viral yang tersiar di akaun Facebook dengan nama Malaysia30 itu.

Tambahnya, penjual burger terbabit sedar bahawa ibu dan kanak-kanak itu terselamat tanpa apa-apa kecederaan namun mereka tetap meneruskan tindakan mengejar bas Rapid KL terbabit.

“Pemandu bas sedar dirinya dikejar orang ramai terus memandu semula basnya untuk menyelamatkan diri.

“Jelas menerusi daripada video yang dirakam penjual burger, pemandu bas itu sedang dalam ketakutan yang amat sangat sehingga mendorong beliau memandu dalam keadaan yang mencemaskan dan merbahaya.

“Sudahnya menyebabkan berlaku kemalangan yang banyak dan pemandu bas terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Menurut saksi itu lagi, pemandu bas itu berusaha keluar daripada bas untuk melarikan diri namun tidak berjaya dan ditangkap oleh penjual burger dan rakan-rakannya.

“Beliau dimaki hamun dan dipukul tanpa dibenarkan membela diri.

“Video yang diambil oleh penjual burger itu hanya separuh (hanya memaparkan pemandu bas yang cedera dipukul) sedangkan keadaan pemandu bas itu adalah sangat kritikal ketika ambulans sampai,” dakwa saksi itu lagi.

Beliau mendakwa, pemandu bas terbabit dipukul menggunakan kayu oleh kumpulan lelaki yang membelasahnya dan kejadian itu tiada dalam rakaman video yang tersebar.

Saksi berkenaan turut mempertikaikan tindakan keterlaluan penjual burger dan rakan-rakannya membelasah pemandu bas terbabit sedangkan gerai burgernya hanya mengalami kerosakan kecil dan tiada siapa pun tercedera dalam kejadian yang pertama di AU Keramat itu.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata polis akan menjalankan siasatan sekiranya wujud unsur jenayah dalam kejadian itu.

“Siasatan akan dijalankan sekiranya pemandu bas atau pihak yang berkaitan tampil membuat laporan polis.

“Buat masa ini, kita dimaklumkan belum ada mana-mana pihak tampil berbuat demikian,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, lima buah kereta rosak akibat dilanggar oleh bas Rapid KL berkenaan yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun di Jalan Ampang berhampiran lampu isyarat Jalan Ampang berdekatan Ampang Point.

Pemandu bas terbabit kini sedang menerima rawatan di Hospital Ampang akibat cedera di kepala dan berada dalam keadaan separa sedar.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.