Seorang lelaki disyaki pedofil kanibal ditahan atas tuduhan membunuh seorang pemuda sebelum mengerat, memasak dan memakan organ mangsa.
Suspek berumur 22 tahun dan ‘teman wanitanya’, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang oleh ibu bapanya, ditahan di sebuah rumah di Kampung Novinka terletak di wilayah Leningrad.
Pasangan berkenaan dipercayai membunuh mangsa dikenali sebagai Alexander Popovich yang tinggal serumah dengan mereka.
Mangsa berusia 21 tahun itu dipercayai ditetak dengan kapak sebelum kepalanya dipenggal dan diletakkan di dalam oven, tangannya turut dikerat, malah sebahagian jantung serta organ perutnya turut hilang.
Penyiasat polis tidak menolak kemungkinan pasangan terbabit memasak otak mangsa apabila kedua-dua suspek memberitahu tiada makanan lain untuk dimakan dan satu ‘hidangan pelik’ turut ditemui dalam sebuah kuali.
Menurut sumber polis, pasangan kanibal itu ditahan ketika melarikan diri setelah cuba membakar rumah tersebut.
Lelaki terbabit kini berdepan pertuduhan membunuh dan mengerat anggota badan serta bakal dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Suspek turut akan didakwa kerana menjalinkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur, yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun.
Sementara itu, teman wanitanya pula ditempatkan di pusat penjenayah bawah umur di St Petersburg. – Dailymail.com