PAS yakin mendapat kerjasama penuh daripada BN dan jentera parti itu apabila mereka menyertai pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia akan datang, kata Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Bendahari Dewan Ulama Pusat PAS itu berkata keyakinan itu hadir berdasarkan jaminan yang telah dinyatakan pemimpin kanan Umno sebelum ini.

“PAS yakin BN akan bantu beri undi di Seri Setia dan itu jamiman yang diberikan salah seorang pemimpin Umno.

“Kami rasa sudah sampai masanya untuk kita buat kerjasama strategik dalam konteks pilihan raya,” katanya.

Pada 3 Ogos lalu, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata BN tidak akan meletakkan calon untuk PRK Seri Setia sebagai menghormati langkah PAS ketika PRK Sungai Kandis.

Mohamad juga berkata BN akan bersungguh-sungguh membantu calon PAS pada PRK tersebut.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas wakil rakyatnya, Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat barah usus.

Ketika ditanya apakah PAS akan sekali lagi ‘memperjudi air muka’ pemimpinnya – seperti yang dinyatakan Naib Ketua Pemuda Ahmad Fadhli Shaari berkenaan PRK Sungai Kandis, Khairuddin berkata: “tidak”.

Sebaliknya, kata anggota parlimen Kuala Nerus itu, apa yang dilakukan PAS hanyalah berdasarkan prinsip parti berhubung kerjasama strategik dengan Umno.

“Kita bukan buat suka-suka, ia adalah tindakan berstrategi – untuk melihat kekuatan pembangkang.

“Kita berjaya kumpulkan kekuatan pembangkang dan kita akan teruskan ladi di PRK Seri Setia dan Balakong,” katanya lagi.

Dulu dengan PH

Ahmad Fadhli sebelum ini juga berkata PAS bereksperimen untuk melihat sejauh mana anggota parti mampu menerima idea kerjasama dengan Umno dengan mengarahkan mereka mengundi Datuk Lokman Noor Adam pada PRK Sungai Kandis.

Beliau bagaimanapun menyifatkan eksperimen itu gagal, susulan kekalahan Lokman dan penurunan peratusan keluar mengundi 4 Ogos lalu.

Khairuddin berkata kerjasama strategik PAS dengan Umno dan BN sama seperti hubungan parti itu dengan parti komponen PH sebelum PRU ke-14.

“Walaupun ketika itu tiada sebarang tahaluf siyasi dengan PH tetapi kita masih bekerjasama dalam banyak isu untuk berdepan Umno selaku kerajaan.

“Ia perkara biasa, tidak timbul soal memperjudi air muka pemimpin PAS,” katanya lagi.

Loading...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.